Kris Wu dipenjara 13 tahun, perkosa tiga wanita

BEKAS anggota kumpulan K-Pop popular, EXO, Kris Wu, 32, dipenjara 13 tahun atas kesalahan merogol tiga wanita oleh Mahkamah Daerah Chaoyang Beijing, kelmarin.

Hasil siasatan pihak berkuasa antara November hingga Disember 2020, model, penyanyi dan pelakon kelahiran Guangzhou, Guangdong, China yang dibesarkan di Kanada itu juga didapati mengumpulkan beberapa individu lain atas skandal pemerkosaan.

Bagi kesalahan jenayah rogol, Wu dihukum penjara selama 11 tahun enam bulan, manakala 22 bulan lagi atas hukuman mengumpulkan orang untuk aktiviti seksual.

Sebelum ini, Wu yang memiliki 50 juta pengikut dalam aplikasi Weibo ditahan polis Chaoyang, Beijing pada 31 Julai, tahun lalu selepas didakwa memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks.

Pemilik nama Wu Yi Fan itu dilaporkan melakukan perbuatan seks bersama tiga wanita di kediamannya tanpa kerelaan mangsa, lapor BH Online.

Ketika kejadian antara November hingga Disember 2020, semua mangsa didakwa tidak sedarkan diri kerana berada dalam keadaan mabuk.

Kris Wu memperdaya wanita sebelum melakukan jenayah rogol

Tahun lalu, seorang pelajar Du Meizhu, 19, mendakwa Wu merogolnya pada usia 17 tahun.

Meizhu mendakwa, Wu memperdaya ramai wanita dan gadis bawah umur 18 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan merekrut pelakon.

Kes tersebut mula mendapat liputan meluas daripada pihak media sehingga mendapat kecaman orang ramai.

Rentetan kes berkenaan, beberapa jenama mewah membatalkan perjanjian untuk bekerjasama dengan Wu.

Malah, ada beberapa mangsa turut berkongsi perbuatan kakitangan Wu mempelawa ke pesta karaoke dan disuruh minum arak sehingga mabuk sebelum bertindak kasar.

Susulan itu, satu gerakan dikenali sebagai #MeToo di China diwujudkan yang menyaksikan ramai golongan wanita tampil ke hadapan bagi menyuarakan pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual termasuklah membabitkan individu berpengaruh pada 2018.

Selain kes jenayah rogol, Wu didenda sebanyak 600 juta yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri.

Dilahirkan pada 6 November 1990, Wu adalah penyanyi, rapper, pelakon dan model.

Wu sempat bersama EXO selama dua tahun sebelum meninggalkan kumpulan popular itu pada 2014 kerana tidak berpuas hati dengan perjanjian kontrak bersama SM Entertainment.

Kemudiannya, Wu melebarkan kerjaya solo dan menceburi dunia lakonan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *