PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.
Usul pindaan itu dibawa oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14 di sini.
“Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Anti-Lompat Parti sekata dan selaras dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen sebelum ini,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu.
Speaker Datuk Abdullah Ya’kub pula berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.
Akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.
Persidangan bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA
Leave a Reply