PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen gabungan itu supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) ketika kemuncak kemelut politik yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Zahid berkata, tujuannya bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk selepas sebelumnya membuat untuk berkecuali dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk menentukan keputusan akhir.
“Hal ini berlaku selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli Parlimen BN supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh PN.
“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.
“BN tidak mahu berpolitik sepanjang masa dan ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama,” katanya, memetik laporan Malaysianow, hari ini.
Kemelut politik melanda negara apabila kerajaan tidak dapat dibentuk selepas tiada gabungan mendapat majoriti mudah bagi menentukan Perdana Menteri baharu selepas keputusan PRU15 diumumkan.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerajui Pakatan Harapan (PH) terpaksa bersaing untuk membuktikan mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, kedua-dua mereka mendakwa mempunyai majoriti kepercayaan ahli Dewan Rakyat.
Kedua-dua mereka dipanggil mengadap oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di mana Muhyiddin berkata 115 akuan bersumpah ahli Parlimen diserahkan kepada Istana Negara.
Bagaimanapun ditolak istana dan Agong mencadangkan supaya Anwar dan Muhyiddin membentuk kerajaan perpaduan yang ditolak oleh PN.
Namun, setelah Agong mendapatkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu, Anwar akhirnya dinamakan sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November sekali gus mengakhiri kemelut politik selama hampir lima hari dalam negara.
Leave a Reply