Warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah

LELAKI warga emas maut disengat tebuan ketika beriadah di Taman Bulatan Miri, Jalan Bulatan Park di Miri, hari ini.

Chin Tet Min@ Tet Bui, 72, ditemui terbaring tidak sedarkan diri dengan badannya dikerumuni tebuan.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 2.57 petang dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bergerak ke lokasi.

“Setibanya pasukan, didapati mangsa lelaki terbaring tidak sedarkan diri dikerumuni tebuan yang masih berterbangan di sekitar tubuhnya.

“Kaedah RECEO diaplikasikan dan anggota mengalihkan mangsa menggunakan baju khas pelindung, bagi tujuan memusnah sarang serangga berbisa itu

“Mangsa berjaya dialihkan ke kawasan jarak selamat anggaran 9.1 meter dari lokasi asal dia terbaring serta diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Pihak perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemantauan di buat di sekitar lokasi dan anggota menjumpai satu sarang tebuan di atas pokok dengan anggaran ketinggian 21.3 meter.

Katanya, perbincangan dibuat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memusnahkan sarang itu dan perlu menggunakan jentera ‘sky lift’.

“Tindakan memusnahkan sarang tebuan akan segera dilaksana apabila jentera tiba, atas faktor keselamatan penduduk dan orang awam yang beriadah di taman awam itu,” katanya, lapor Harian Metro.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *