kerajaan negeri Sabah GRS BN PAS ADUN Bebas Hajiji Noor GRS politik

Sabah tidak tuntut jawatan TPM, kata Ketua Menteri

KERAJAAN Sabah tidak membuat tuntutan berhubung jawatan kedua Timbalan Perdana Menteri menerusi kerajaan perpaduan yang dibentuk nanti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan Persekutuan bagi menentukan jawatan tersebut sama ada diberikan kepada pemimpin Sabah atau sebaliknya.

“Kita tidak tuntut, terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan di Putrajaya,” katanya ringkas kepada pemberita selepas membentangkan Bajet Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jawatan yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini jika berjaya menerajui kerajaan pada selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bercakap mengenai reaksi daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan GRS menyokong kerajaan perpaduan, beliau yakin bekas Perdana Menteri itu memahami bahawa gabungannya itu memberi keutamaan kepada Sabah terlebih dahulu.

“Kita memikirkan kepentingan negeri Sabah di bawah GRS, di mana kita memberikan keutamaan kepada Sabah. Jadi saya ingat Tan Sri tahu akan hal ini dan dia orang yang lebih bijak.

“Saya ingat kita tidak ada masalah, kerana ini adalah keputusan kita dalam GRS,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ditanya bagaimana kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah, beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, perkara tersebut berjalan dengan baik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *