gerakan PRN Melaka Muhyiddin PN

Gerakan yakin gabungan PN masih diterima rakyat

PENINGKATAN jumlah undian kepada calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, menunjukkan slogan prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional (PN) diterima rakyat.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata sebanyak 34 peratus pengundi kali pertama berbangsa Melayu memberi undi dan sokongan kepada PN.

“Ia membuktikan rakyat menerima ideologi PN. Undi yang diperoleh Gerakan juga meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu dan juga PRN Johor awal tahun ini diadakan.

“Fokus bagi Gerakan adalah Pulau Pinang. Kita berjaya mendapat tempat kedua dalam empat daripada lima kerusi Parlimen yang dipertandingkan walaupun semua kerusi tersebut membabitkan empat ataupun lebih calon,” katanya hari ini di Ibu Pejabat Parti Gerakan, lapor BH Online.

Dominic turut berkata, fokus Gerakan kini adalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dahulu.

“Pada masa yang singkat ini, kita juga akan mempersiapkan jentera bagi mengharungi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu pada tahun hadapan,” katanya.

Pada PRU15, Gerakan bertanding di 20 kerusi Parlimen dengan lima daripada kerusi Parlimen itu akan dipertandingkan di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum dirampas DAP pada 2008.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan gabungan parti politik itu tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

PN juga akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *