SEEKOR anak gajah mati selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di Lahad Datu, pukul 2.16 pagi tadi.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylverter Saimin berkata, anak gajah berkenaan mati di lokasi kejadian.
“Anak gajah berkenaan dikatakan sedang melintas jalan di lokasi itu. Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva tidak dapat mengelak lalu melanggar anak gajah berkenaan.
“Kakitangan JHL Lahad Datu melakukan bedah siasat dan kemudian menanam bangkai anak gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu Perodua Viva seorang lelaki tempatan tidak mengalami kecederaan.
“Namun kereta Perodua Viva dipandu lelaki terbabit rosak di bahagian hadapan,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply