PERIKATAN Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.
“Dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.
“Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.
PRU-15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.
Leave a Reply