SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut akibat hujan lebat hampir enam jam yang mencetuskan banjir kilat di Jeddah, Arab Saudi semalam.

Hujan bermula pukul 8 pagi itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk dengan kebanyakan orang ramai terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dimasuki air sebelum diselamatkan.

Lapor Saudi Gazette, ia kejadian banjir terburuk dalam tempoh 13 tahun.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM), Jeddah merekodkan jumlah hujan sebanyak 179 mm dalam tempoh enam jam melebihi paras dicatatkan pada 2009.

Trafik penerbangan dan kenderaan terganggu selama beberapa jam kerana laluan utama dan jalan raya ditenggelami air.

Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) terpaksa ditunda manakala Lebuhraya Haramain dan beberapa jalan utama lain ditutup selama beberapa jam.

Beberapa jalan di kawasan perumahan Jeddah dinaiki air akibat hujan lebat, menyebabkan banyak kenderaan rosak.

Kebanyakan orang ramai yang terperangkap di rumah kemudiannya berkongsikan cuaca buruk dan kenderaan dihanyutkan banjir dalam akaun media sosial mereka.

Jurucakap Pertahanan Awam, Kolonel Muhammad Al-Qarni berkata, dua kematian dilaporkan akibat hujan lebat di Jeddah.

Menurutnya, perenang dari Pertahanan Awam Jeddah menyelamatkan ramai pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan mereka yang tenggelam dalam terowong Jalan Raja Abdullah yang ditenggelami air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here