Oleh RIZQI ZABIDI
KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan semua pihak agar berpolitik secara bermaruah.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, ketika ini penjilat ludah, ‘desperado’, oportunis dan pencatur licik sedang berpakat untuk menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai usaha dan taktik kotor.
Begitu pun katanya, semua pihak harus meneguhkan pendirian dan mengukuhkan keyakinan terhadap PN selain melihat sejauh mana kumpulan-kumpulan yang berpakat itu mahu ‘pergi’.
“Tsunami PRU-15 yang membentuk sokongan besar kepada PN telah membadai Malaysia, terbit daripada kemahuan dan kepercayaan rakyat Malaysia kepada pendekatan dan dasar parti politik yang bersih dan stabil untuk membentuk kerajaan baharu.
“Konsep dan dasar PN dibesarkan lagi melalui persetujuan gabungan parti-parti politik yang diterajui gabungan ini untuk membawa citra Malaysia, bagi menubuhkan kerajaan baharu.
“Hanya gabungan PN yang memiliki semua keupayaan untuk mengemudi negara tercinta ini, berasaskan daya kepimpinan dan rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya, hari ini.
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan baharu ditawarkan PN adalah pemerintah yang prihatin selain pentadbiran bersih dan stabil.
“PN sedang dipimpin oleh tokoh negara dan parti politik yang benar-benar prihatin, bersih dan stabil.
Dalam kalangan pemimpin PN tiada kluster mahkamah atas tuduhan rasuah seperti yang ada dalam kalangan dua kelompok lain yang sedang berhempas pulas ingin merebut kuasa.
“PN bebas dari ekstrimis kaum dan agama, jauh daripada pelampau liberalisme dan penganut pluralisme yang mencarik adat, norma, nilai dan budaya Malaysia,” katanya.
Leave a Reply