PRESIDEN Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan bersama empat lagi pemimpin parti itu ditahan di Kuching, semalam, kerana terbabit dalam bantahan terhadap kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Perikatan Nasional (PN).
Lapor Berita Harian, kesemua ahli politik itu difahamkan menaiki lima kenderaan berkonvoi sekitar bandar raya ini sambil melaungkan ‘Say no to PAS’ petang kelmarin.
Bantahan itu diadakan kerana parti terbabit tidak menerima Pas yang menjadi komponen utama PN.
Sumber berkata, kelima-lima ahli politik itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpang Tiga, di Kuching, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Jurucakap polis berkata, siasatan terhadap lima ahli politik itu dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Lee Shan dalam hantaran di akaun Facebooknya berkata, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.
Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mengumumkan keputusan GPS untuk menyertai kerajaan campuran bersama PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Leave a Reply