Pertemuan tertutup pemimpin PN, BN tamat

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan baharu sahaja selesai mengadakan pertemuan tertutup di Hotel St Regis, Kuala Lumpur.

Pertemuan dua jam yang bermula pukul 3 petang itu dipercayai hasil persetujuan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada malam tadi.

Menurut laporan Astro Awani antara wakil BN yang hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Wakil parti Perikatan Nasional (PN) termasuk Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Dominic Lau.

Turut hadir ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Radzi Jidin dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sebelum ini, BN mengadakan perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Seri Pacific, di ibu negara kelmarin.

Anwar turut dilaporkan berkata, tujuh wakil BN terlibat dalam perbincangan bersama PH. Antara yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Ismail Sabri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *