PRU-15: ‘Ahmad Zahid curang kepada UMNO, ahlinya’ – Penganalisis

RUNDINGAN antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, rundingan itu sama ada membawa UMNO dan BN sebagai sebahagian kerajaan bersama PH atau sekadar menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, membelakangkan suara akar umbi parti.

“Rundingan berkenaan juga tidak melepaskan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada bertanggungjawab terhadap prestasi buruk UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan walau apa juga keputusan rundingan ketika ini, sama ada BN menjadi kerajaan atau kekal sebagai pembangkang, Ahmad Zahid tetap perlu akur dengan desakan akar umbi yang mahukannya meletakkan jawatan.

“Jika kerjasama BN dan PH ini berlaku, ia bertentangan dengan ketetapan PAU dan Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab dengan tindakannya yang merosakkan UMNO.

“Ahmad Zahid juga jelas menipu ahli UMNO dan menyalahgunakan PAU apabila sebelum ini menafikan ingin bekerjasama dengan Anwar dan DAP, tapi perkara itu kini terserlah benar.

“Jelas, Ahmad Zahid curang pada parti dan ahlinya. Dengan pelbagai desakan di peringkat bahagian dan sayap serta pimpinan negeri, beliau nyata sudah kehilangan kepercayaan untuk memimpin UMNO dan BN, sekali gus perlu melepaskan jawatan untuk memulihkan parti,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu, pemimpin utama PH dan sejumlah Ahli Parlimen PH hadir dalam pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan Ahli Parlimen BN di Hotel Seri Pacific bersebelahan ibu pejabat UMNO di sini, hari ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi berunding usaha membentuk kerajaan antara kedua-dua pihak, berikutan tiada parti yang berjaya mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dalam PRU15, Sabtu lalu.

PAU 2020 yang diadakan pada Mac tahun lalu antara lain memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Anwar, DAP dan BERSATU dalam PRU15.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik turut berpandangan pimpinan tertinggi parti lain yang kalah pada PRU15 juga perlu meletakkan jawatan bagi membolehkan proses peremajaan dan pembaharuan parti masing-masing berjalan.

“Bukan saja Presiden UMNO, tapi parti lain yang kalah teruk juga seperti Presiden MIC dan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga perlu lepaskan jawatan.

“Ini penting untuk beri ruang pada pemimpin pelapis naik dan menyegarkan semua parti supaya mereka dapat bangkit semula dan tidak menjadi parti yang tewas selamanya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *