SETELAH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melabuhkan tirai, Pas akan terus konsisten dengan agenda penyatuan ummah dan bersama dengan mereka yang inginkan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan agenda itu akan bertunjangkan tiga prinsip utama yang telah digariskan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, tiga tunjang itu ialah adil kepada semua, satu keluarga Malaysia dan Islam memimpin.
“Bersama dengan slogan “Islam Menyatukan Ummah”, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) akan terus mara mendukung aspirasi ini dan membina semula negara Malaysia yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, agenda penyatuan ummah bukan satu strategi kemenangan, jauh sekali alat meraih kepentingan bagi parti itu.
Katanya, demi menstabilkan iklim politik negara, Pas telah menjadi perintis penyatuan ummah antara parti-parti politik Melayu melalui pembentukan Muafakat Nasional dan seterusnya melibatkan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem melalui platform Perikatan Nasional (PN).
“Gabungan yang baik ini telah berjaya menamatkan kesengsaraan rakyat di bawah pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan.
“Kemudian, konflik-konflik yang berlaku dek kepentingan peribadi pihak tertentu telah memaksa Pas untuk memilih rakan politik.
“Tetapi, kita masih bertegas dengan prinsip penyatuan ummah dan akan tetap berusaha untuk menyatukan semua pihak Melayu-Islam atas nama perpaduan ummah,” tambahnya.
Leave a Reply