Laungan hidup UMNO, Melayu hanya tinggal sejarah – Noh Omar

BEKAS Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan laungan hidup Melayu! hidup UMNO! hanya tinggal sejarah susulan perkembangan terkini politik tanah air melibatkan parti itu.

Hari ini buat pertama kali Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang turut disertai DAP menubuhkan kerajaan negeri di Perak dan terdapat spekulasi kuat gabungan itu akan diteruskan di peringkat pusat.

Namun tegas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu, keputusan untuk menyertai mana-mana parti telah ditangguhkan.

“Jawatankuasa perunding harus tegas bukan sekadar hanya untuk mendapat jawatan dalam kerajaan,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut Noh berkata, kesilapan dalam membuat keputusan hanya akan menyebabkan orang Melayu akan memulaukan UMNO.

“Dari 30 kerusi BN jangan sampai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti hanya tinggal tiga kerusi saja.

Semalam Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun Noh masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

Untuk rekod, Noh menyandang kerusi Parlimen Tanjong Karang sejak PRU-9 pada 1995 namun digugurkan daripada bertanding pada PRU-15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *