GABUNGAN politik yang bakal dibentuk bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan tidak perlu melibatkan DAP kata Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, keutamaan parti politik ketika ini adalah untuk membentuk gabungan yang stabil.
“Selain itu, UMNO Johor berpendirian kerajaan Persekutuan ditubuhkan perlu berfungsi serta berfahaman sederhana (moderate) untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.
“Oleh yang demikian, Umno Johor berpendirian bahawa gabungan politik yang dibentuk tidak perlu membabitkan DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat di Hotel Seri Pacific, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor dan Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, BN dan UMNO Johor menerima dan menghormati keputusan rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, keputusan PRU-15 cukup jelas dan adalah penzahiran kepada kematangan rakyat dalam mendakap budaya demokrasi di Malaysia.
“Keputusan PRU-15 juga adalah isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN.
“Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya bahawa Presiden akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.
“Pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan (restore) Umno.
“Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar Umno kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.
Hasni yang menang kerusi Parlimen Simpang Renggam pada PRU-15 berkata, keputusan PRU di Johor akan diteliti secara mendalam supaya penambahbaikan dapat segera dilakukan.
“Melangkah ke hadapan, UMNO dan BN Johor akan terus diperkukuhkan,” katanya, lapor Harian Metro,
Leave a Reply