SEKURANG-KURANGNYA 44 orang maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat hari ini.
Lapor agensi berita Reuters, seorang pegawai kerajaan tempatan Bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, lebih 300 yang lain cedera di bandar itu.
“Ini hanya daripada sebuah hospital dan terdapat empat hospital di Cianjur,” katanya, memberi bayangan bahawa angka kematian dan kecederaan boleh meningkat.
Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia bagaimanapun melaporkan 14 kematian, buat masa ini.
Dalam pada itu, jurucakap pentadbiran tempatan di bandar Cianjur di Jawa Barat, Adam berkata, terdapat berpuluh-puluh orang terbunuh.
“Beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu rumah rosak akibat gempa bumi itu,” katanya.
Gempa berlaku pada pukul 13.21 waktu tempatan (0621 GMT) dengan pusat gempa terletak 10 kilometer (km) dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10 km.
Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.
Leave a Reply