PRU15: Takkan pemimpin kanan lain tengok saja, KJ persoal pendirian pemimpin kanan UMNO

KHAIRY Jamaludin menyuarakan sokongan terhadap gesaan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang dilakukan oleh bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Parlimen Sungai Buloh berkata, Shahril dan Onn Hafiz telah melakukan perkara yang betul.

“Sekarang, pemimpin kanan perlu ikut. Takkan tengok saja? Menang sorak di WTC (World Trade Centre), negara tergadai,” katanya dalam satu muat naik di Instagram, hari ini, lapor Astro Awani.

Hari ini, Shahril Hamdan mengumumkan meletak jawatan Ketua Penerangan UMNO dan mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat susulan prestasi buruk parti pada PRU15 semalam.

Nada sama dilontarkan Onn Hafiz yang turut menggesa Ahmad Zahid mengundurkan diri dengan segera sebagai tanggungjawab atas kekalahan BN dan UMNO yang mencatat prestasi terburuk pada PRU15.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *