LAUNGAN ‘undur Zahid, No DAP, No Anwar’ bergema di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur petang ini.
Desakan itu disuarakan sendiri akar umbinya dari UMNO Bahagian Bukit Bintang yang kecewa susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jurucakap akar umbi UMNO itu, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar mengambil tanggungjawab atas keputusan buruk BN pada PRU-15 kali ini.
“Mana-mana organisasi sekiranya gagal capai kemenangan, maka ia mesti digalas ke atas kepala partinya. Dalam hal ini ia adalah Presiden UMNO sendiri.
“Bukan kita tak sayangkan Ahmad Zahid dan parti, tetapi beliau perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan ini. BN sudah kalah dalam dua PRU berturut-turut,” katanya kepada media.
Beliau berkata, keputusan untuk berundur jika diambil Ahmad Zahid adalah lebih wajar dan lebih terhormat sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan serta mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya rasa ramai lagi ketua UMNO bahagian dan ahli UMNO akar umbi akan mengikut langkah kita. Kita tidak kisah dibuang parti. Kita mahu suarakan naluri dan isi hati kami,” katanya, lapor Berita Harian.
Katanya, mereka juga tidak bersetuju dengan cadangan mahu BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan, susulan tiada gabungan meraih cukup 112 kerusi Parlimen.
BH turut difahamkan, beberapa lagi kumpulan didakwa mewakili akar umbi UMNO akan hadir ke ibu pejabat parti itu bagi menzahirkan hasrat sama, hari ini.
BN mengalami kekalahan paling buruk sejak menyertai PRU selepas hanya menang di 30 kerusi Parlimen pada PRU15, yang menutup tirai semalam.
Leave a Reply