PN sedia kerjasama bentuk kerajaan bersih, stabil – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.

Namun tegas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, gabungan itu tidak akan bekerjasama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Persekutuan sebelum petang ini.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi gabungan berkenaan dengan mengambil kira situasi dan keadaan tertentu.

“Apa yang penting, kita harap PN mengetuai kerajaan ini, maka kita akan dapat melahirkan suasana politik yang paling stabil

“Ini bermakna kita perlu ambil kira (kerjasama) pihak tertentu dalam parti lain tetapi bukan dengan PH, kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar yang akan diketuai oleh PN, kita akan menimbangkan dengan teliti dan mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort di Shah Alam awal pagi ini.

Yang turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan pimpinan tertinggi PN lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Malah, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat berhubung perkara itu.

“Kita juga ada terima surat daripada Istana Negara, kandungannya saya tak perlu sebut, yang memberi kepada kita perkara yang kita perlu sempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi tak payah kita ‘reveal’ (dedahkan), perkara ini perlu kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian perbincangan akan kita lakukan esok (hari ini) dan kita harap dapat dimuktamadkan sebelum petang esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN berjaya memenangi 73 kerusi Parlimen termasuk 22 calon gabungan itu yang bertanding menggunakan logo PAS.

“Andai kata PN berjaya bentuk kerajaan bersama parti lain yang sehaluan, tumpuan PN adalah melaksanakan semua tawaran PN BEST yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen.

“Gelombang sokongan rakyat kepada PN terutama daripada pengundi muda membolehkan PN mencapai kejayaan luar jangka. Saya ucapkan tahniah kepada calon PN yang menang kerusi masing-masing.

“Saya ingin ambil kesempatan ucap terima kasih dan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dengan penuh iltizam dan semangat juang tinggi sehingga memungkinkan PN peroleh kejayaan luar jangka,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *