PERIKATAN Nasional (PN) pagi ini mengadakan pertemuan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usahanya membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan.
Ini setelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertemuan itu melibatkan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.
Katanya, pertemuan itu turut disertai Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Pagi ini saya menerima kunjungan Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Abdul Hadi Awang, Presiden Pas untuk membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi catatan Facebook hari ini.
PRU-15 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi, setakat 4.30 pagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan keputusan bagi 219 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen Bebas.
Ia selaras dengan kenyataan beliau awal pagi ini bahawa PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen bebas.
“InsyaAllah, Kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” tambah beliau.
Leave a Reply