PERIKATAN Nasional (PN) Perak akan berbincang dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Timbalan Pengerusi PN 1 Perak Razman Zakaria berkata ini kerana gabungan itu hanya memenangi 26 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Perak memerlukan 30 kerusi bagi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. PN kurang empat kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri untuk tempoh ini dan akan berusaha supaya kerajaan dibentuk bagi mentadbir urus kerajaan dan membuat perbincangan dengan rakan-rakan sebelah sana untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang medi hari ini.
Ditanya sama ada perbincangan akan turut diadakan bersama Pakatan Harapan (PH), Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak berkata pihaknya tetap berpendirian tidak bekerjasama dengan gabungan itu.
“Sekarang ini seperti yang dijelaskan, kita tidak akan bersama PH, ‘No Anwar, No DAP’. Tentang perkara itu, ruang ada (untuk) rakan-rakan kita daripada BN,” katanya menjelaskan perbincangan di peringkat negeri perlu mendapat persetujuan peringkat pusat terlebih dahulu.
PH memenangi 24 kerusi DUN Perak manakala BN hanya memenangi sembilan kerusi.
Leave a Reply