Noh Omar pula desak Zahid letak jawatan, cadang orang baru urus UMNO

LAGI desakan meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Kali ini ia dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Tan Sri Noh Omar yang hilang kepercayaan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

Menurut Noh, beliau meminta Zahid agar berjiwa besar meletakkan jawatannya sebagaimana dilakukan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil tanggungjawab kekalahan PRU-14 lalu.

Katanya, adalah lebih elok UMNO diuruskan oleh kepimpinan baharu.

“Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Noh memaklumkan beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

Noh bagaimanapun menegaskan, beliau masih Ahli MKT dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya,” katanya lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *