Oleh RIZQI ZABIDI
KEKUATAN jentera Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Padang Terap menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan gabungan tersebut memenangi kerusi Parlimen itu yang sebelum ini disandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Ahli Parlimen baharu di situ, Nurul Amin Hamid daripada PN, kekuatan yang dibentuk oleh jentera berkenaan menyebabkan PN sama sekali tidak gentar untuk menggempur ke mana-mana kawasan meski pun berdepan calon lawan yang dianggap sebagai ‘heavyweight’.
Malah katanya, cabaran dihadapi itu dianggap sebagai satu motivasi kepada seluruh jentera bagi memastikan kemenangan PN di kawasan Parlimen tersebut.
“Saya bersyukur dengan kemenangan dari Allah dan ini boleh disifatkan sebagai kemenangan seluruh rakyat di Padang Terap. Alhamdulillah, sepanjang kempen kita dapat melihat gelombang PN berlaku di seluruh negara.
“Saya berterima kasih kepada semua penyokong, pengundi dan semua yang terlibat dengan kejayaan ini. Doakan saya agar dapat berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Menerusi pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Terap, Datuk Abd. Ghani @ Zulkifli Zainuddin di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi parlimen tersebut di Kolej Mara Kuala Nerang kira-kira pukul 11 malam tadi, Nurul Amin disahkan sebagai pemenang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 10,959 undi.
Beliau yang sebelum ini merupakan Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memperolehi 28,217 undi manakala Mahdzir yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar sekadar mendapat 17,258 undi.
Dua lagi calon bertanding iaitu Muaz Abdullah dari Pakatan Harapan (PH) dan Razali Lebai Salleh yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) jauh ketinggalan apabila masing-masing sekadar mendapat 2,702 dan 452 undi.
Sebaik diumumkan sebagai pemenang di kawasan Parlimen tersebut, Nurul Amin terus melaksanakan sujud syukur di atas pentas.
Ditanya langkah awal yang mahu dilaksanakannya sebaik terpilih sebagai Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan itu terlebih dulu.
“Dalam masa sama, saya akan mengusahakan tujuh tawaran yang dinyatakan akan dilaksanakan di Padang Terap semasa dalam tempoh berkempen sebelum ini,” katanya.
Leave a Reply