GELOMBANG desakan agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan semakin meningkat dengan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin anggota parti terbaharu menyuarakan tekanan itu.
Khairy menggunakan analogi perang untuk memberi isyarat kepada Ahmad Zahid agar berundur kerana menyifatkan reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi.
Menurut beliau, apabila kalah dalam peperangan, panglima besarnya perlu bermaruah untuk mengambil tanggungjawab lebih-lebih lagi strategi diatur panglima besar itu mengakibatkan ramai tentera tersungkur.
“Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab. Lebih2 lagi bila strategi perang diatur oleh Panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.
“Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi UMNO tidak boleh ditangguh lagi,” ciapnya di Twitter beliau.
Desakan itu turut dibuat Wanita BN Wilayah Persekutuan meminta Zahid melepaskan jawatan sebagai pengerusi gabungan tersebut dan menyerahkan teraju kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ketuanya, Zurainah Musa, berkata pengerusi BN itu wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat kepada BN dalam PRU semalam.
“Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 rakyat menegur UMNO (dan) BN, dalam PRU ke-15 rakyat menolak UMNO, BN. Oleh itu pengerusi BN wajib bertaggungjawab sepenuhnya terhadap penolakan rakyat.
“Justeru Wanita BN Wilayah Persekutuan menggesa Ahhad Zahid meletak jawatan sebagai pengerusi dan presiden Umno serta-merta. Umno perlu segera melakukan penstrukturan parti,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Zurainah juga menegaskan pendirian pergerakan itu ialah menolak sebarang kerjasama dengan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dan DAP yang menjadi komponennya.
“Pendirian Wanita BN Wilayah ialah ‘no Anwar, no DAP’ seperti diputuskan perhimpunan agung Umno lalu,” katanya.
Dia juga berkata, tiada siapa boleh melanggar ketetapan tersebut termasuk presiden, biro politik dan majlis kerja tertinggi (MKT) mereka.
Sementara itu dua sayap dalam MIC juga mengeluarkan kenyataan sama.
Ketua Pemuda MIC kebangsaan,K Raven Kumar, berkata Ahmad Zahid adalah liabiliti kepada BN sehingga mengakibatkan nama-nama besar lain dalam parti turut tewas.
“Majoriti anak muda berpandangan bahawa BN masih dalam cengkuman ‘warlords’ serta kluster mahkamah.
“Jelas dapat dilihat bahawa Ahmad Zahid adalah liabiliti sebenar kepada BN,” katanya.
Tambah Raven Kumar, antara nama besar yang kalah semalam termasuklah Khairy, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, malah Presiden MIC sendiri, SA Vigneswaran.
Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy, berpendapat Ahmad Zahid perlu berjiwa besar dengan melepaskan jawatan tersebut.
Katanya, ketika ini itulah jalan terbaik untuk BN yang berusaha memulih dan memperbaiki parti berkenaan.
“Anggaplah ini satu pengajaran buat kita semua. Peletakan jawatan ini juga untuk memberi laluan kepada pimpinan lain yang mampu membawa perubahan jika BN tidak mahu berdepan dengan penolakan lebih teruk pada masa hadapan,” katanya, lapor Malaysiakini.
Leave a Reply