Oleh RIZQI ZABIDI
KEMENANGAN besar diperolehi Perikatan Nasional (PN) dengan jumlah undi yang tinggi di Kedah menunjukkan betapa pengundi negeri itu memiliki keyakinan sangat tinggi terhadap kerajaan negeri yang sedang melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kejayaan itu juga turut membuktikan bahawa kerajaan negeri sedang berada di landasan betul, selari dengan kehendak rakyat Kedah.
“Rakyat juga mahukan kerajaan Pusat yang seiring dan sehaluan dengan kerajaan negeri dan ia diterjemahkan melalui keputusan yang dibuat di peti-peti undi.
“Majoriti rakyat Kedah telah membuat pilihan untuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. Semoga Kerajaan yang bakal dibentuk di peringkat Pusat, dapat merealisasikan hasrat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PN Kedah mencatat kejayaan besar di Kedah apabila memenangi 13 daripada 15 kerusi Parlimen yang ada di negeri ini.
Calon PN, Dr. Robert Ling Kui Ee hanya tewas tipis dengan majoriti 1,115 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Mohamed Taufiq Johari di Sungai Petani manakalah proses pengundian di Parlimen Padang Serai pula tertangguh akibat kematian calon PH, M. Karupaiya sebelum ini.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi turut mengajak kalangan pendokong PN agar memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah berikutan anugerah kemenangan tersebut.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas pilihan raya dari Perikatan Nasional yang telah telah bekerja keras sehingga akhirnya kita memperolehi kemenangan cemerlang.
“Terima kasih juga kepada para pemilih yang telah mengundi Perikatan Nasional dan tidak dilupakan juga anak-anak Kedah di perantauan yang berkorban untuk pulang mengundi PN. Saya berharap seluruh rakyat Kedah terus bersatu padu menjalani kehidupan yang harmoni,” katanya.
Leave a Reply