AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias secara terbuka mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menerusi satu kenyataan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata keputusan itu dibuat susulan Perikatan Nasional (PN) memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas Pakatan Harapan (PH).
“Secara terbuka, saya mengambil sikap berjiwa besar dan matang dalam kolektif politik untuk mencadangkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri atas kerangka bahawa PN memiliki jumlah kerusi kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat selepas PH.
“Kerangka pemikiran ini adalah atas prinsip saya untuk memastikan rakyat dan negara ini terus berada dalam keadaan stabil dan makmur sepertimana yang parti saya perjuangkan,” memetik kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menerima keputusan PRU-15 dengan penuh kematangan dan keputusan BN yang hanya mampu menang di 30 kawasan Parlimen.
Dalam situasi ini, tiada satu parti pun yang beroleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.
“Namun demikian, kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara ini harus diteruskan dengan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang stabil dan berpengalaman.
“Berpaksikan ‘track record’, saya berprinsip bahawa kita harus membentuk sebuah ‘unity government’ (kerajaan perpaduan) tanpa Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kerajaan Malaysia pasca PRU15 ini.
“Asas utama penolakan terhadap PH ini adalah atas kegagalan pentadbiran negara dan keruntuhan negara semasa 22 bulan diperintah mereka pada PRU14 lalu,” katanya.
Perkara ini katanya, ahli-ahli Parlimen sewajarnya menjadi ‘collective responsibility’ dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat BN, PN, Parti Pejuang Tanah Air, Gabunan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Bebas dan lain-lain.
Leave a Reply