nazri luncai nur jazlan

Hormati suara rakyat, Zahid perlu segera letak jawatan – Nazri

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Zahid perlu bertanggungjawab penuh dan meletak jawatan seperti mana Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan selepas PRU14.

Tegas beliau, Ahmad Zahid tidak perlu banyak alasan kerana PRU15 merupakan prestasi paling buruk untuk UMNO dan BN.

“Zahid perlu bertanggungjawab dan segera letak jawatan. Tidak perlu banyak alasan, ini suara rakyat yang jelas tidak boleh menerima beliau (Zahid) sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Berjiwa besarlah dan ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan parti dengan meletak jawatan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Selain Mohamed Nazri, beberapa pemimpin UMNO yang lain antaranya Tan Sri Noh Omar, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut membuat gesaan yang sama.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *