Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEPASANG suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan selepas pasangan itu selesai mengundi, dalam kejadian di Kilometer 46 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, pukul 12.08 tengah hari tadi.
Kemalangan berkenaan melibatkan kereta Perodua Alza dinaiki tiga beranak itu dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, siasatan mendapati Perodua Alza dalam perjalanan untuk ke Skudai, Johor Bahru setelah selesai mengundi di Lok Heng dekat Kota Tinggi.
“Perodua Alza tersebut yang menghala ke Johor Bahru terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan menghala ke Mersing.
“Perodua Alza itu kemudian bertembung Toyota Hilux tersebut dalam keadaan jalan basah akibat hujan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya patah kaki kanan.
Sementara lelaki memandu Toyota Hilux berkenaan yang berusia 60 tahun katanya, tidak mengalami kecederaan.
Jelasnya, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Alza yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.
Menurut Hussin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Normak berkata, seramai lapan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Mohd Rafi berkata, pasangan suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing manakala anaknya tidak tersepit.
“Kanak-kanak perempuan tersebut dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum bomba tiba. Bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan peralatan khas.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menambah, operasi menyelamat mangsa tersebut tamat pada pukul 1.09 petang.
Leave a Reply