CALON Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi tadi, dikatakan kelihatan agak penat semasa pulang ke rumah selepas tamat berkempen di Sungai Puteri, di Rompin malam tadi.
Anaknya, Khairyel Harith, 28, berkata ayahnya begitu bersungguh-sungguh berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, walaupun ada mengadu keletihan akibat jadual kempen yang padat.
“Setiap hari ayah nampak bersemangat untuk keluar berkempen. Selalunya beliau akan keluar dari 8 pagi dan pulang sekejap untuk solat Maghrib di rumah sebelum sambung berkempen hingga tengah malam.
“Malam tadi, selepas balik ayah hanya memberitahu sakit badan dan minta disapukan minyak angin, beliau nampak terlalu penat,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Taman Aman Jaya, Rompin hari ini.
Khairyel Harith, anak kedua Allahyarham berkata ayahnya mempunyai rekod sakit jantung dan pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada 2013.
Jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Rompin kerana menunggu keputusan saringan COVID-19, sebelum bedah siasat dilakukan dan dijangka akan dikebumikan esok.
Md Yunus, 61, yang merupakan seorang peniaga disahkan meninggal dunia di Hospital Rompin pada 3.30 pagi tadi selepas dikejarkan ke hospital itu oleh ahli keluarganya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Rokiah Md Herham, 62, dan dua lagi anak iaitu Khairunisa Nadirah, 34, dan Khairyel Reezwan, 22.
Pada PRU15, DUN Tioman menyaksikan persaingan lima penjuru iaitu antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).
Allahyarham Md Yunus yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil DUN Tioman sebelum ini pernah bertanding di DUN sama pada PRU14.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan proses pengundian bagi DUN Tioman tidak berlangsung hari ini, dan akan diadakan pada 7 Dis, manakala hari penamaan calon pada 24 Nov dan hari mengundi awal pada 3 Dis ini.
Sementara itu, Mohd Johari yang turut menziarahi Allahyarham di hospital hari ini, berkata beliau sempat bertemu dengan Md Yunus malam tadi semasa mereka sama-sama berkempen di Sungai Puteri.
“Kami kenal sudah lama dari 2008. Walaupun berbeza parti, hubungan kami baik dan Allahyarham juga sangat peramah. Jadi kami selalu sahaja berborak tentang politik dan isu setempat di Rompin,” katanya.
Leave a Reply