PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru semua pengundi menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara berlapang dada dan tenang.
Menurut beliau, rakyat perlu bersikap matang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi atau kekecohan selepas pengumuman keputusan yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini.
“Kita manfaatkan amalan demokrasi dengan cara yang beradab dan bersopan. Alhamdulillah saya dapati setakat ini (sepanjang kempen) tidak berlaku perkara yang tidak diingini di seluruh negara.
“Ini satu keadaan yang baik, yang tenang. Kita harap suasana yang tenang dan aman ini berterusan walau apapun keputusan pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang, hari ini.
Ditanya sambutan terhadap Perikatan Nasional (PN) setakat ini, calon Parlimen Marang itu berkata ia menunjukkan perkembangan positif.
“Kita nampak (sambutan terhadap PN) menunjukkan perkembangan positif di seluruh semenanjung, dari Perlis sampai ke Johor. Ia amat menggalakkan khususnya dengan kehadiran anak-anak muda (yang keluar mengundi) dan ini merupakan satu petanda yang baik.
“Dengan keadaan cuaca yang baik kita harap peratusan keluar mengundi itu tinggi dan kesedaran juga tinggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Abdul Hadi turut mengakui mampu kekalkan kemenangan di Marang berdasarkan peningkatan undi diterima setiap kali pilihan raya.
Beliau turut menyeru kepada pengundi supaya keluar menunaikan kewajipan itu.
“Saya menyeru kepada pengundi Islam, pengundi muda untuk keluar mengundi. Kita manfaatkan amalan demokrasi kerana kita tak boleh ketinggalan dalam masalah (perkara) ini.
“Dan sebagai orang bukan Islam juga tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin masing-masing,” ujar beliau.
Leave a Reply