Ummah dan gabungan lebih 185 NGO sokong kerajaan bersih, berintegriti dan Muhyiddin sebagai PM

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) dan 185 Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Berikut adalah kenyataan penuh Ummah dan gabungan NGO Islam terbabit:

Gerakan Pembela Ummah bersama lebih 185 NGO Islam Malaysia bertarikh 18 November 2022 di Hotel Ideas Kuala Lumpur, telah membuat suatu ketetapan seperti berikut:

  1. Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan NGO Islam amat gusar melihat sokongan politik orang Melayu berpecah dalam PRU ke-15 ini dan kesannya DAP akan menguasai Kerajaan Malaysia melalui gabungan parti Pakatan Harapan.
  2. Sehubungan itu UMMAH dan Gabungan NGO Islam menyeru dan merayu Umat Islam seluruh Malaysia agar wajib (Fikh Al-Daulah) keluar mengundi dan menyatukan undi hanya kepada satu gabungan parti yang jelas mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara, serta bersih daripada rasuah, berwibawa dan berusaha memperkasa penyatuan ummah.
  3. Berdasarkan kepada penelitian dan penilaian calon dan parti yang bertanding, maka UMMAH dan Gabungan NGO Islam berpendirian bahawa calon dan parti yang menepati kriteria yang dinyatakan di atas adalah calon dan parti daripada gabungan Perikatan Nasional.
  4. Kami juga berpendirian berdasarkan kepada perbandingan dua calon Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih memenuhi kriteria menjaga agama, bangsa dan negara serta menghormati bangsa dan agama yang lain (tidak memudaratkan kaum dan agama yang lain serta mengukuhkan perpaduan kaum dan nasional)
  5. Berdasarkan prestasi yang lepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengurus tadbir negara dengan baik dan berjaya mengemudi negara berdepan dengan masalah besar Covid-19 dan kesuraman terhadap ekonomi negara.
  6. Oleh itu, UMMAH bersama Gabungan lebih 185 NGO Islam dan para agamawan menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang lebih layak dan berwibawa serta menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
Bersama Gabungan 200 NGO Islam


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *