UMAT Islam diingatkan agar memilih calon parti politik yang paling ringan bahayanya di antara dua orang yang berbahaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
Ia sesuai dengan kaedah fiqh yang menegaskan apabila bertembungnya dua mafsadah (kerosakan), maka dipelihara (ditolak) mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
Menurut teks khutbah Jumaat di seluruh Selangor dengan tajuk “Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya”, memilih calon paling ringan bahaya itu adalah satu daripada tiga kaedah memiliki wakil rakyat mengikut Islam.
Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam perlu memilih calon paling berkelayakan iaitu individu paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.
“Kaedah ketiga ialah, seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu.
“Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW,” kata teks yang diterbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, teks itu menegaskan umat Islam wajib keluar mengundi untuk menentukan masa depan Islam, negara dan umat kerana sesiapa yang mengabaikannya dianggap berdosa, melanggar perintah dan suruhan Allah.
Selain itu menurut teks berkenaan, umat Islam dingatkan tidak melantik pemimpin yang tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya.
“Begitu juga Islam melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara yang tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.
“Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang sentiasa mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan. Ini kerana masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua.
“Oleh itu pilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan,” kata teks itu lagi.
Leave a Reply