AZAM memerangi rasuah boleh dibuktikan menerusi kertas undi, dengan menolak serta tidak memberi undi kepada calon-calon yang memiliki imej rasuah atau terpalit dengan lumpur rasuah.
Menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak dengan tajuk ‘Pilihan Raya: Pemilihan Ulil Amri’, masyarakat juga perlu membuktikan tekad itu dengan tidak membenarkan diri dibeli dengan sogokan wang.
Dengan kata lain, memilih calon kerana dipengaruhi dengan sampul surat yang mengandungi wang.
Menurut teks berkenaan, menghukum dengan adil dapat dilakukan apabila tidak lagi memilih orang yang terlibat dan terpalit dengan rasuah serta pecah amanah.
Jelas teks tersebut lagi, sudah tiba masanya untuk mengubah yang buruk kepada baik dan langkah untuk menjernihkan air yang keruh.
“Betulkan yang biasa, dan biasakan diri dengan yang betul. Pilihan yang dilakukan akan menentukan kehidupan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Mengundi ialah tanggungjawab rakyat kepada negara. Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan kertas undi bagi setiap pengundi.
“Kertas undi yang dicetak melibatkan kos yang dibayar daripada duit pembayar cukai. Jangan sia-siakan kertas undi yang telah disediakan untuk kita; apatah lagi kerajaan bermurah hati mengisytiharkan hari ini dan esok sebagai hari cuti bagi memudahkan rakyat mengundi.
“Sempurnakan rukun kenegaraan seorang rakyat; sempurnakan tanggungjawab fardu kifayah seorang muslim; ikhlaskan niat menunaikan kewajipan fardu kifayah untuk pergi mengundi agar dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT,” katanya.
Ujarnya lagi, masyarakat disarankan memilih calon yang memiliki peribadi yang jujur dan ikhlas selain akhlak dan budi pekerti mulia.
Di samping berilmu dan berpengetahuan, mengamalkan gaya hidup sederhana serta tidak memperagakan kemewahan secara keterlaluan.
“Pilihlah pemimpin yang memiliki sifat al-qawi, bermaksud berkemampuan, berkebolehan, berkepakaran, dan mahir dalam melaksanakan tugas.
“Sifat al-amin, bermaksud amanah, bertanggungjawab dan berintegriti, tidak menyeleweng, tidak khianat, dan tidak mudah dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan jawatan hingga bersedia menggadaikan maruah diri dan maruah bangsa.
“Setelah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, walau apa jua keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ummah wajib menerimanya dengan hati yang terbuka serta reda dengan ketentuan Ilahi,” jelas teks khutbah itu.
Menurut teks khutbah itu lagi, PRU15 memberikan hak kepada 21.1 juta orang pengundi untuk memilih pemimpin bagi mentadbir urus negara dan menentukan nasib 32.7 juta rakyat Malaysia.
Katanya, rakyat mengharapkan pasca pilihan raya, akan terbentuk sebuah kerajaan yang dapat memenuhi harapan rakyat; merangkumi peluang pekerjaan,pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam yang berkualiti.
Termasuk perumahan rakyat, jaminan bekalan barang makanan, kos sara hidup yang rendah, inflasi yang terkawal dan pelbagai lagi.
“Rakyat mahu melihat nilai ringgit kembali kukuh, beban hutang dan tanggungan negara berjumlah RM1.4 trilion dapat dikurangkan, rasuah dihapuskan dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa.
“39 parti politik bertanding, membariskan 945 calon, di samping 108 calon bebas. Islam sangat memberi penekanan soal kepimpinan. Nasib buruk atau baik rakyat dan negara ditentukan oleh pemimpin,” katanya.
Katanya lagi, dalam proses melantik seorang pemimpin negara, antara panduan sebelum membuat pilihan adalah dengan meneliti dan memastikan orang yang dilantik memiliki keupayaan untuk mengurus negara dengan baik.
“Siapakah antara calon yang berupaya mengangkat martabat dan memakmurkan negara? Siapakah antara calon yang memiliki imej bersih dan bebas daripada rasuah?
“Siapakah antara calon yang memiliki kekuatan dan bukan boneka atau patung yang begitu lemah dan tidak memiliki kekuatan jati diri lalu terlalu mudah tunduk kepada tekanan?
“Siapakah antara calon yang berupaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur, yang dihormati di peringkat antarabangsa?
“Perkara tersebut hendaklah dijadikan panduan ketika membuat pilihan,” katanya, lapor Astro Awani.
Katanya, pilihan raya juga memberikan hak kepada rakyat menentukan sama ada mahu terus mengekalkan corak dan haluan politik negara serta pemimpin sedia ada, atau sebaliknya.
Leave a Reply