PRU15: Pas khuatir peratus keluar mengundi rendah kerana hujan

PAS menzahirkan rasa bimbang dengan peratusan keluar mengundi yang berisiko rendah pada Sabtu ini susulan cuaca diramallkan hujan dan ribut petir di beberapa negeri.

Namun Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap, pengundi tetap keluar menunaikan tanggungjawab walaupun hujan.

“Memang kita akui bimbang peratusan keluar mengundi rendah disebabkan ramalan cuaca hujan.

“Disebabkan itu menerusi siri ceramah yang kita adakan, kita menekankan supaya pengundi keluar mengundi pada waktu pagi.

“Kita berharap peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini sekurang-kurangnya mencapai 70 peratus,” katanya dalam sidang media ketika menghadiri Ceramah Grand Final di Macahang, malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan cuaca baik waktu pagi di beberapa negeri pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Jabatan itu meramalkan tiada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang, terutamanya di negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam perkembangan berasingan, Tuan Ibrahim yang juga calon Pas Parlimen Kubang Kerian berkata, ‘mood’ sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) sangat tinggi setakat ini.

Katanya, sokongan itu amat mengejutkan PN terutama dalam kalangan anak muda yang mahukan perubahan.

“Saya tidak boleh kata berapa kerusi yang kami akan menang, namun saya boleh katakan ‘mood’ rakyat kepada PN terutama anak muda sangat tinggi,” katanya, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *