PRU-15:Sokongan anak muda selamatkan maruah agama, bangsa, tanah air-Muhyiddin

SOKONGAN besar-besaran anak muda terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok akan menjadi sejarah teragung negara, sekali gus penyelamat kepada maruah agama, bangsa dan tanah air.

Dengan tekad mahu melakukan perubahan setelah jemu dengan pentadbiran berpanjangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang tidak menunaikan janji, anak muda kini beralih kepada gabungan baharu yang membawa harapan masa depan mereka PN.

Sehubungan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan anak muda supaya bukan sahaja melihat kepimpinan BN dan PH daripada sudut fizikal, tetapi perlu faham apa sebenarnya dilakukan pemimpin terbabit.

“Anak-anak muda kena faham situasi sebenar siapa pemimpin-pemimpin itu. Bukan sahaja (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (Pengerusi PH), Guan Eng (Pengerusi DAP)… tapi yang lain-lain dalam PH dan DAP,” katanya.

Sebaliknya PN menerusi manifesto PN BEST menawarkan pelbagai janji kepada anak muda demi masa depan mereka, katanya sambil berharap anak muda turut mengajak rakan, ibu bapa, dan jiran untuk memberi undi kepada PN.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Bekas Perdana Menteri kelapan itu sekali lagi mengajak pengundi supaya keluar beramai-ramai esok bagi melaksanakan tanggungjawab memilih dan menentukan parti mana yang berhak membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin berkata, ini adalah satu pilihan raya yang amat penting untuk rakyat Malaysia dapat memilih kerajaan yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

“Saya memohon dan merayu seluruh pengundi dari Perlis sampailah ke Sabah untuk tunaikan tanggungjawab… keluar mengundi beramai-ramai untuk menentukan kerajaan yang nak dipilih adalah kerajaan yang mendapat dukungan dan sokongan rakyat.

“Untuk membuat keputusan yang tepat bila mana kita hadir untuk mengundi dan harapan saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional ialah agar semua pengundi yang ada di seluruh negara akan menyokong calon-calon Perikatan Nasional yang bertanding di PRU-15 ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah pun menyatakan dalam undi awal baru-baru ini hampir 94.5 peratus telah keluar mengundi… satu peratusan keluar undi antara yang tertinggi dalam sejarah negara.

“Kalau trend itulah yang akan berlaku dan gelombang ini akan terus berterusan sampai 19 November ini, saya yakin gelombang rakyat itu akan nanti merubah keadaan negara kita dan Perikatan Nasional dipilih untuk mentadbirkan negara… nsya-Allah,” katanya.

Menurutnya, pengundi perlu menentukan supaya keputusan pilihan raya umum esok, akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang boleh menjamin kestabilan politik, ekonomi, dan sosial di Malaysia.

“Kita harapkan akan berlaku satu tsunami baharu yang akan membersihkan sampah sarap politik di negara kita… dan mewujudkan satu kerajaan yang beramanah dan bertanggungjawab yang dipimpin oleh pemimpin Perikatan Nasional,” katanya, lapor Agenda Daily.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *