PRU-15:PH pengkhianat, BN rasuah jadi pilih PN, kata Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) adalah pengkhianat negara kerana cuba merungkai dan melakukan tindakan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini boleh dibuktikan semasa PH memerintah negara selama 22 bulan apabila terutama cuba menyentuh hak, keistimewaan dan kepentingan orang Melayu.

Beliau menentang dasar-dasar utama dalam PH dan amat tidak bersetuju dengan dua pemimpin utamanya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Lim Guan Eng daripada DAP serta bekas Menteri Kewangan.

Katanya, semasa Guan Eng berada dalam kerajaan Persekutuan ditadbir PH pernah meminta supaya Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) ditutup dan dana pusingannya yang bernilai RM2.4 bilion diambil Kementerian Kewangan.

“Saya bercakap ini bukan kerana perkauman tetapi ini fakta. Orang Melayu sudah lama tidak bersetuju dengan Lim Guan Eng dan DAP kerana tidak menghormati Perlembagaan, kedudukan agama Islam dan tidak menghormati hak-hak orang Melayu dan bahasa Melayu.

“Ini perkara serius. Kalau nak jadi pemimpin kita kena hormat Perlembagaan negara, kedudukan agama Islam, hak Melayu dan hak kaum lain,” katanya ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Muhyiddin berkata, Guan Eng bukan sahaja mahu menarik peruntukan Ekuinas tetapi juga tidak mahu memberikan peruntukan kepada Universiti Antarabangsa UNITAR yang ditubuhkan oleh orang Cina sendiri.

“Jadi saya bukan pengkhianat seperti yang mereka tuduh, pengkhianat adalah mereka, saya tidak khianat kepada siapa-siapa,” katanya dan meminta rakyat menolak PH dalam PRU-15.

Calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh itu berkata, rakyat juga perlu menolak Barisan Nasional (BN) pada PRU kali ini kerana gabungan tersebut terutama UMNO sudah rosak teruk.

Ujarnya, UMNO dan BN dikaitkan dengan rasuah yang berleluasa dan amalan tersebut kini sudah menjadi DNA parti dan gabungan tersebut sejak dahulu dan akan mengakibatkan negara binasa.

“Negara akan rosak kalau dipilih lagi menjadi menerajui negara, jangan bagi satu undi pun kepada perasuah dan penjenayah. Perkara ini dinyatakan dan diakui sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Jelasnya, dalam satu program baru-baru ini Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin-pemimpin utama BN supaya berjaga-jaga dan jika gabungan itu kalah semuanya akan diheret ke mahkamah.

Justeru kata beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PH dan BN perlu ditolak pada PRU-15 dan pilihan utama rakyat ketika ini adalah PN yang menawarkan kerajaan bersih, stabil, prihatin serta bertanggungjawab.

Beliau berharap gelombang sokongan rakyat terhadap PN ketika ini akan terus bertambah sehingga hari mengundi pada Sabtu ini.

“PRU ini amat penting, jadi saya mahu semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab, keluar undi beramai-ramai dan akan ubah negara kita pada 19 November ini dengan memilih PN untuk tadbir negara di Putrajaya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *