PRU-15: Umat Islam wajib pilih pemimpin berakhlak

MENJELANG hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, pengundi khususnya dalam kalangan umat Islam perlu memilih calon pemimpin yang berakhlak dan beramal soleh.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Khutbah Jumaat hari ini menyebutkan beberapa panduan dalam pemilihan pemimpin, esok.

JAIS memberitahu setiap rakyat Malaysia yang cukup umur wajib memainkan peranannya dengan keluar mengundi kerana Parlimen memiliki kuasa bagi menentukan rangka, dasar dan hala tuju negara.

“Oleh itu pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya. Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan.

“Pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada Allah, berilmu, berakhlak dan beramal soleh. Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat.

“Pemimpin mestilah adil dan tidak fasiq selain dipilih daripada orang yang mempunyai sejarah hidup serta akhlak yang baik. Mereka mestilah orang yang berilmu dan berpengetahuan tentang syariat Islam. Mereka mesti boleh memberi teladan yang baik, dicontohi dan dihormati,” katanya lapor Agenda Daily.

Khutbah itu juga menegaskan pengundi perlu memilih orang yang paling berkelayakan dan menolak calon Islam yang melakukan maksiat secara terang-terangan serta yang memusuhi Allah, Rasul dan orang beriman.

“Memilih orang yang paling berkelayakan menurut Islam ialah yang paling bertakwa dan mampu memikul tanggungjawab wakil dan suara rakyat, komitmen dengan kewajipan agama dan meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

“Memilih orang yang paling ringan bahayanya antara dua orang yang berbahaya. Seorang pengundi tidak boleh mengubah pilihannya daripada memilih calon yang lebih layak kepada calon yang kurang layak dengan dorongan fanatisme, hubungan keluarga atau kepentingan tertentu. Sekiranya ini dilakukan, bererti dia mengkhianati Allah dan Rasul SAW,” katanya.

Selain itu, kezaliman pemimpin sangat berpotensi membinasakan rakyat maka pemimpin tidak amanah, berpotensi memusuhi Allah, Rasul dan syariat Islam tidak layak dipilih kerana bukan sahaja memberi mudarat kepada umat Islam, bahkan akan memudaratkan masyarakat serta negara secara keseluruhannya.

Hakikatnya, jika dilantik pemimpin yang zalim, bukan sahaja pemimpin itu yang akan dipertanggungjawabkan tetapi rakyat yang membuat pilihan juga akan ditanya dan dipersoalkan kenapa tugas kepimpinan itu diberikan kepada mereka yang tidak jujur dan amanah.

Mengundi adalah satu kewajipan bagi umat Islam. Ia adalah untuk membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab. Jika pemimpin dipilih tidak tepat dan tidak layak, maka kepentingan masyarakat dan negara tidak dapat diberi keutamaan sewajarnya.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan membuat pilihan dengan kebijaksanaan bukan dengan logik akal mahupun permusuhan.

“Jangan melantik pemimpin yang tidak amanah dan tidak berupaya menjaga Islam dan syariatnya. Begitu juga Islam melarang menyokong pemimpin yang meminta jawatan dan mendapatkan jawatan melalui cara yang tidak baik dan tidak mampu berlaku adil.

“Umat Islam hendaklah memilih pemimpin yang sentiasa mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini kerana masa depan Islam dan negara adalah di tangan kita semua. Oleh itu pilihlah dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan dengan logik akal, amarah, dendam dan permusuhan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *