SEKTOR pertanian, penternakan serta perikanan memainkan peranan besar dalam struktur sosioekonomi negara.
Pada ketika negara memberi tumpuan bagi memperteguh sekuriti makanan akibat ketidaktentuan global, golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil wajar diberikan perhatian.
Jika tidak kerana golongan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil, bagaimana negara mampu mengukuhkan rantaian bekalan makanan.
Justeru, Perikatan Nasional (PN) memberi perhatian serius terhadap usaha bagi mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil.
Terkandung di bawah Tunjang 12 – manifesto ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau disebut PN BEST, nasib golongan itu akan diberi perhatian khusus sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dua inisiatif utama di bawah Tunjang 12 adalah memperkasa petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil bagi mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara di samping memelihara kebajikan petani, penternak, nelayan serta pekebun kecil.
PN berazam mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui insentif khas.
Tawaran itu dalam usaha menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar serta pemasaran yang cekap, lapor Utusan TV.
Selain itu, PN juga akan menambah lesen perikanan bagi nelayan muda bagi kawasan laut yang sesuai di samping memodenkan sektor perikanan bagi meningkatkan taraf hidup nelayan.
Inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan mewujudkan skim pembangunan terancang dan komprehensif.
Pada masa sama, PN BEST turut menggariskan usaha penyediaan insentif ekopelancongan bagi membantu petani dan nelayan menambah sumber pendapatan.
Bagi menjaga kebajikan dan meningkatkan pendapatan penoreh getah, PN juga berhasrat memodenkan industri getah.
Bukan itu sahaja, kebajikan petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil juga akan terus dipelihara menerusi PN BEST.
Antara usaha yang akan dilakukan termasuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan melalui penyediaan latihan, bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta pementoran.
Pesawah dan pekebun kecil akan turut menerima bantuan tunai masing-masing berjumlah RM1,200 di bawah Bantuan Tanaman Padi dan RM800 menerusi Bantuan Musim Tengkujuh.
Malah, PN BEST akan turut mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik kerajaan bagi kegunaan sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang bersesuaian termasuk mewujudkan kebun komuniti.
Akhir sekali, harga lantai getah akan ditingkatkan pada kadar yang berpatutan dan disemak secara berkala bagi menjamin kebajikan penoreh getah.
Leave a Reply