PROSES pengundian kerusi Parlimen Padang Serai ditetapkan pada 7 Disember depan sekali gus tiada pengundian esok.
Ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya yang merupakan salah seorang calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi berkenaan.
Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, proses pengundian Parlimen itu ditetapkan pada 7 Disember.
“Tarikh penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai adalah 24 November manakala undi awal pula 3 Disember.
“Tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu meninggal dunia di Hospital Kulim kelmarin dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.
Pada PRU-15, Karupaiya berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Ananda Ak (BEBAS).
Pada PRU-14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1, menang dengan majoriti 8,813 undi.
Leave a Reply