Guan Eng batal peruntukan UTAR, PN beri balik-Muhyiddin

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan peruntukan RM300 juta kepada Universiti Tun Abdul Razak (Utar) milik MCA walaupun sebelum itu bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menarik dana tersebut.

Muhyiddin berkata, perkara itu berlaku semasa Guan Eng berada dalam kerajaan Persekutuan ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan selepas beliau menjadi Perdana Menteri kelapan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), peruntukan tersebut dikembalikan semula kepada Utar.

Juteru beliau meminta pengundi Cina dinasihatkan melupakan sahaja Pakatan Harapan (PH) dan DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelasnya, ini kerana apa yang dilakukan gabungan itu ketika memerintah selama 22 bulan sebelum ini merugikan kaum itu sendiri.

“Guan Eng menarik balik peruntukan yang disediakan kerajaan sebanyak RM300 juta kepada UTAR, yang ditaja MCA untuk pembangunan pendidikan tinggi dalam kalangan bukan Melayu.

“Hanya setelah Perikatan Nasional yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri… kami memulangkan balik peruntukan itu kerana ini berkaitan dengan soal pendidikan.

“Agak luar biasa apabila seorang Cina yang sewajarnya menyokong pendidikan untuk masyarakat Tionghua majoritinya walaupun ditaja oleh MCA, mengambil tindakan drastik untuk ambil balik peruntukan itu dan tak diberikan peruntukan pada pihak universiti berkenaan.

“Saya waktu pimpinan Perikatan Nasional mengambil alih teraju negara, kita sediakan semula peruntukan yang saya anggap penting untuk tujuan pendidikan anak-anak di negara kita. ‘Ignore the existence of DAP’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa sesetengah kaum Cina juga sekarang ini sudah tidak menyukai Guan Eng.

“Tapi sebenarnya orang melayu sudah lama pun tidak setuju dan tidak sokong Guan Eng kerana dia tidak menghormati Perlembagaan Negara… tak menghormati kedudukan agama Islam… tak menghormati hak-hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan bangsa lain.

“Ini perkara serius. Jika anda hendak menjadi pemimpin kepada rakyat Malaysia, anda mesti menghormati Perlembagaan. Hak Melayu sudah dijamin dalam Perlembagaan… begitu juga hak kaum-kaum lain,” katanya.

Pada majlis sama, Muhyiddin berkata, serangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertalu-talu terhadap PN dan beliau sendiri menunjukkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah semakin gelabah.

“Dia (Anwar) kini berada pada satu tahap gaban… dah bimbang. Hanya tinggal beberapa jam saja lagi orang dah nak mengundi. Dia nampak bahawa parti dia (PH) tak mendapat tarikan majoriti rakyat.

“Yang dia kata akan menjadi ancaman ialah Perikatan Nasional, yang agak lebih popular kononnya Muhyiddin Yassin. Jadi seranglah saya berhabis-habisan supaya saya jatuhkan tumbang dan dia jadi Perdana Menteri,” kata Muhyiddin lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *