TAN Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini dengan mengundi Perikatan Nasional (PN) bagi meneruskan mandat perjuangan membangunkan negara yang belum selesai.
Pengerusi PN itu menegaskan, undi anda kepada Perikatan Nasional adalah penyelamat daripada negara jatuh ke tangan pemimpin yang nyata tidak senang dengan pembangunan Islam.
“Justeru setiap pengundi perlu menolak PH yang di belakangnya ialah DAP yang jelas dan nyata cuba mengganggu hak-hak keistimewaan kaum bumiputera.
“Para pengundi juga perlu menolak BN yang terserlah dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Undilah Perikatan Nasional bagi meneruskan mandat perjuangan membangunkan negara yang belum selesai,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook beliau hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau mengajak rakyat Malaysia menetapkan tekad untuk hanya memilih calon yang prihatin menjaga kebajikan rakyat dalam keadaan susah dan senang.
Katanya, tidak sampai 48 jam lagi menuju hari pengundian, beliau menyedari pelbagai cara digunakan oleh pihak lawan untuk meraih undi pada saat akhir.
Namun tegas beliau, PN terbukti berjaya menguruskan negara dengan memberi keutamaan semua rakyat tanpa mengira keturunan dan agama.
“Tempoh ini sangat penting, tetapkan tekad dengan hanya memilih calon yang prihatin menjaga kebajikan rakyat dalam keadaan susah dan senang.
“Tetapkan pegangan dan niat bahawa setiap undi anda itu penentu masa depan anak cucu kita. Undilah Perikatan Nasional,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN terbukti berjaya menguruskan negara dengan memberi keutamaan semua rakyat tanpa mengira keturunan dan agama.
Beliau berkata, PN juga terbukti berdaya tahan dalam menghadapi situasi pandemik yang menggegarkan dunia. Wabak terburuk abad ini mampu ditangani dengan baik.
“Renungkan semua siapa bersama anda ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan, cabaran ekonomi sejagat.
“Suka saya ingatkan lagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 ini sangat penting, undi anda menjadi penentu hala tuju negara. Pilih pemimpin yang layak, amanah, bersih dan stabil,” tambahnya.
Leave a Reply