Ugut KP SPRM: MCW kecam, tuntut Rafizi mohon maaf

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengutuk tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengugut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan yang dijalankan SPRM terhadap syarikatnya.

MCW turut menuntut Rafizi memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas ucapan yang dikeluarkan ketika kempen pilihan raya.

“MCW juga menggesa semua pihak tidak mempolitikkan serta mengganggu-gugat siasatan pihak SPRM yang sedang berjalan.

“Sebagai agensi yang bebas dan telus, SPRM pastinya memerlukan sokongan semua pihak terutamanya iltizam politik yang kuat dan konsisten untuk membenarkan SPRM menyiasat; proses mengumpul bukti dan menyelesaikan kes tanpa ada rasa takut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut MCW, SPRM mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga akar umbi.

“Kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik yang disiasat perlu memberi kerjasama penuh dan dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan menganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,”katanya, lapor Berita Harian.

Terdahulu, pada Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru malam tadi, Rafizi yang juga calon PH Parlimen Pandan memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *