PAS sentiasa mengamalkan budaya politik matang dan menolak bentuk kempen secara kotor dan melampau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Secara umumnya perbuatan yang tidak bermoral seperti kegiatan sengaja membakar poster parti sangat tidak berhemah,” kata Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Menurutnya, perbuatan membakar poster parti pihak lawan secara sengaja ataupun tidak adalah tindakan berkempen secara tidak sihat.
“Sabotaj seperti ini seringkali berlaku dalam tempoh PRU. Ada yang sengaja membakar poster bagi menagih simpati dan menimbulkan isu.
“Walau bagaimanapun, Pas tidak pernah mendidik ahlinya untuk melakukan perbuatan yang sebegitu dan kita sangat mementingkan profesional dalam berkempen,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian bantuan Program Transformasi Sosio Ekonomi Keluarga Malaysia Bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Jajahan Pasir Puteh, di Pasir Puteh.
Muhammda Zawawi mengulas mengenai kejadian membakar poster wajah calon BN Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mashitah Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tambah beliau, Pas menafikan sekeras-kerasnya sekiranya ada pihak yang menuduh parti itu melakukan perbuatan sebegitu demi meraih undi.
Leave a Reply