KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini adalah penentu kepada kestabilan negara, setelah melalui krisis dan suasana pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai satu penggal PRU-14.
Bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertukaran tiga Perdana Menteri itu menunjukkan keadaan politik negara sememangnya tidak stabil dan masalah itu perlu diselesaikan segera.
“Jadi keputusan pilihan raya ini adalah penentu, stabil ke tak stabil. Itu soalnya. Kalau nak stabil sesebuah kerajaan tak boleh hanya ada 112 kerusi. Saya jadi Perdana Mneteri dulu ada 114 kerusi (pun tak stabil).
“Inilah tok guru (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang menaja saya. Dia kata Tan Sri nak jadi Perdana Menteri sekarang saya nak sokong. Ini sejarah. Sampai ke mati saya tak akan lupa. Kerana Pas menyokong saya.
“Jadi kalau situasi tak stabil kita cari jalan supaya menstabilkan keadaan. Dan cara untuk menstabilkan kerajaan ialah menunaikan tanggungjawab kita mengundi parti yang boleh membawa kestabilan, bersih dan prihatin,” katanya.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata demikian dalam Ceramah Mega PN BEST di Parlimen Muar di Padang Bukit Mor, Parit Jawa, Muar, malam tadi yang dihadiri lebih 2,000 orang.
Turut hadir Abdul Hadi; Ketua Sidang Assabiqun Pas Pusat, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dan calon PN Parlimen Muar, Abdullah Husin.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan bahawa pengundian dilakukan pemilih pada Sabtu ini akan memberi kesan cukup besar kepada rakyat dan negara, sama ada keadaan politik akan stabil atau tidak.
“Kalau nakkan negara lebih stabil, Perikatan Nasional mesti menang, katalah 130 kerusi… (namun) kita doakan supaya menang 100 peratus kerusi yang ditandingi.
“Itu bukan soal memiliki sebuah kerajaan, tapi kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang boleh melaksanakan agenda pembangunan negara yang berkesan yang boleh mengangkat darjat dan harkat rakyat Malaysia ke satu harakah yang lebih tinggi. Ini nawaitu.
“Tetapi siapakah agak yang kita percaya dan yakin boleh buat kerja berat. Ini bukan nak jadi ketua kampung… tok penghulu, guru besar, tetapi menguruskan sebuah negara.
“Sebab itu Perikatan Nasional menawarkan calon-calon yang berwibawa, bersih dan mampu menggalas amanah… yang telah bersumpah tidak akan terlibat dengan rasuah,” katanya.
Katanya, PN juga menawarkan manifesto yang realistik dan akan dilaksana jika menjadi kerajaan Persekutuan dengan majoriti penuh.
Beliau juga mengingatkan pengundi supaya melihat semula sejarah dua gabungan lain iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya BN bergelumang dengan pelbagai kes rasuah dan penyelewengan setelah mentadbir negara lebih 60 tahun, manakala PH pula tidak menepati janji, selain ada parti yang menyekat agenda bumiputera iaitu DAP.
“Oleh itu pengundi sepatutnya memilih Perikatan Nasional yang telah terbukti prihatin, bersih dan stabil,” katanya.
Leave a Reply