PN pasti tunai janji untuk jaga nama baik hadapi PRU lima tahun lagi

PERIKATAN Nasional (PN) adalah gabungan baharu parti politik yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU), walaupun pernah memerintah negara selama 17 bulan tatkala pandemik Covid-19 melanda negara pada awal 2020 lalu.

Ketika krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negara selepas menang PRU 2018, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi parti sekutu PH menarik diri kerana tidak tahan dengan kerenah parti komponen PH, DAP.

Bersatu membentuk Perikatan Nasional bersama Pas, SAPP dan Star sebelum turut disertai parti berbilang kaum, Gerakan, yang kemudian menubuhkan kerajaan dengan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Untuk menghadapi PRU-15, Sabtu ini, PN seperti juga parti lain menawarkan manifesto ‘PN BEST’ merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Ia digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka termasuk isu ekonomi dan kos sara hidup.

PN BEST meliputi 12 tunjang iaitu:

Membina Ekonomi Masa Hadapan;
Meningkatkan Nilai dan Taraf Hidup Rakyat;
Membersihkan Politik dan Tadbir Urus;
Mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan Semua Kaum;
Merapatkan Jurang Pembangunan Antara Wilayah;
Melestarikan Alam Sekitar dan Merancakkan Pelancongan;
Memperkasa Belia dan Mensejahterakan Keluarga Muda;
Mengoptimumkan Potensi Wanita;
Membina Warga Emas Yang Sejahtera;
Memperkasa Orang Kelainan Upaya (Oku);
Memperkasa Generasi Felda; dan
Mentransformasi Petani, Penternak, Nelayan Dan Pekebun Kecil.

Pengundi seramai lebih 21.17 juta sudah tentu menilai semua tawaran dan janji yang dibuat oleh parti-parti bertanding kali ini.

Barisan Nasional (BN) yang setiap kali PRU diadakan sejak negara merdeka sentiasa menyertainya dan menawarkan pelbagai janji. Demikian juga PH di mana anggota komponennya terutama DAP dan PKR telah telah lama menyertai PRU dan menawarkan manifesto mereka.

Memang diakui banyak juga janji yang dibuat oleh BN telah ditunaikan. Namun, skandal, rasuah dan penyelewengan wang yang melibatkan pemimpin tertingginya yang terbongkar selepas kalah PRU 2018. Oleh itu, pengundi perlu berfikir; Adakah wajar atau tidak, memilih BN yang tidak stabil dan bergelumang rasuah serta penyelewengan untuk memerintah negara?

Manifesto ‘Kemakmuran dan Kestabilan’ hanya menjadi halwa telinga, sedang hakikatnya UMNO yang mengetuai BN sudah berpecah-belah. Jika di dalam UMNO sendiri sudah tidak stabil, bagaimana parti itu boleh menjadikan negara stabil.

Demikian pula, tawaran PH. Selepas mengecap kemenangan pada 2018, apa yang dijanjikan tidak dilaksanakan sehingga pentadbiran parti itu dilihat lebih menekan rakyat. Pastinya rakyat Malaysia akan ingat kepada ungkapan ‘manifesto bukan kitab suci’.

Selain itu ada juga dalam kalangan pemimpin PH yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan. Justeru, adakah pengundi akan memilih parti yang tidak menepati janji dan terlibat dengan rasuah untuk menjadi pemerintah?

Namun, mengambil kira bahawa ini adalah kali pertama PN menyertai PRU, dan demi jangka hayat politik gabungan itu pada masa depan, sudah pasti parti berkenaan akan melaksanakan semua tawaran yang dijanjikan dalam tempoh lima tahun mentadbir.

Semua tawaran di dalam manifesto PN BEST itu, pastinya akan dilaksanakan demi menjaga nama baik PN supaya menjelang PRU Ke-16, gabungan berkenaan akan diberi kepercayaan untuk terus memerintah.

Justeru, PN yang menawarkan calon-calon yang bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sepatutnya menjadi pilihan pengundi pada 19 November 2022 ini.

Buktikan, bahawa rakyat Malaysia boleh membentuk sebuah kerajaan yang paling bersih.

Buktikan kepada dunia anda mampu melakukan perubahan dengan memilih gabungan politik yang telah terbukti mampu mentadbir negara walaupun ketika dunia berdepan krisis paling hebat – pandemik Covid-19.

Yang penting anda bukan pendosa yang menyebabkan negara musnah di tangan perasuah dan pemimpin yang tidak amanah.

Anda yang melakukan perubahan untuk diri anda dan masa depan anak, cucu anda sendiri. – Ketua Pengarang Agenda Daily


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *