JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) giat mencari inisiatif untuk mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan bagi menempatkan mangsa banjir di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, setakat ini terdapat 6,010 PPS dikenal pasti dan daripada jumlah itu kira-kira 2,100 adalah pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, selain Selangor, enam negeri lain terjejas banjir iaitu Pulau Pinang, Kedah, Johor, Melaka, Perak dan Kelantan.
“Dianggarkan kira-kira 3,000 pegawai dan anggota JKM akan ditempatkan di lapangan (lokasi banjir).
“Terdapat empat PPS di Sepang telah dibuka yang kini menempatkan 120 keluarga dan ini tidak termasuk penduduk kampung Orang Asli.
“Pihak JKM terus buat persiapan untuk kemungkinan mangsa banjir lain terlibat.
“Setakat ini khemah adalah mencukupi namun berdepan kekangan akibat tempat (PPS) dan usaha mengesan PPS lain terus dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Komuniti Pekan Dengkil di Sepang, hari ini.
Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Sepang sebelum itu hadir ke dewan terbabit yang dijadikan sebagai PPS bagi menyantuni mangsa banjir di Dengkil.
Sementara itu, Rina yakin dengan sambutan pengundi yang positif dan harap ia dapat diterjemahkan pada hari mengundi Sabtu ini.
“Saya serahkan kepada rakyat Sepang untuk teruskan usaha yang telah kita mulakan dan laksanakan. Saya perlukan mandat ini untuk meningkatkan tahap pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
Leave a Reply