Gerak kerja teratur, bertanggungjawab modal Awang Hashim kukuh ikatan dengan pengundi di Pendang

Oleh RIZQI ZABIDI

BERBEZA berbanding ketika kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), penyandang kerusi Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim tidak lagi memiliki masalah untuk masuk berkempen ke mana-mana kawasan dalam PRU-15 kali ini.

Menurut Awang yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, beliau yakin bahawa penerimaan rakyat itu berikutan gerak kerjanya selama ini yang tidak pernah lupa untuk kembali ke kawasan setiap minggu, meskipun diberi amanah untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

“Dalam PRU-14 dulu saya belum dikenali dan baru mula memperkenalkan diri tetapi kali ini saya tak ada masalah langsung nak ke mana-mana. Saya boleh berkempen di semua unit daerah mengundi (UDM) dan masuk dengan penuh ketenangan tanpa ada kacau ganggu atau masalah.

“Penerimaan pengundi juga sangat baik malah ketika mengadakan sesi dialog, kami boleh bertemu dalam keadaan selesa serta bersoal jawab dalam keadaan cukup tenang tanpa ketegangan,” katanya kepada Warta Rakyat.

Justeru katanya, beliau yakin mampu menambat hati pengundi bagi memberinya peluang untuk mewakili suara mereka di Parlimen sekali lagi.

“Tentang gerak kerja saya di sini, saya tak fikir ada masalah. Rakyat boleh menilai tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang kira-kira empat tahun setengah saya mewakili mereka di sini,” katanya.

Ditanya fokusnya terhadap kawasan Parlimen tersebut selepas ini, Awang berkata, beliau memiliki perancangan jangka masa panjang untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus rakyat di situ memiliki kelulusan diploma menjelang 2030.

“Saya percaya pendidikan merupakan antara cara terbaik bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat. Hasrat saya adalah untuk menjadikan Pendang sebagai bandar ilmuan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *