KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menolak dakwaan kononnya parti itu sebuah parti politik yang kaya di Malaysia seperti dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Wan Saiful yang juga calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Parlimen Tasek Gelugor berkata, dakwaan itu sepatutnya ditujukan kepada Anwar sendiri memandangkan beliau pernah mengakui tidak akan mengambil gaji sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya tak baca komen (dakwaan Anwar) itu sepenuhnya, tapi saya rasa kalau kita tengok betul-betul yang kaya-raya itu adalah Anwar, sampai tak mahu ambil gaji sebagai Perdana Menteri.
“Jadi yang ada kemampuan tolak gaji ini semestinya kaya, cuba dia (Anwar) cerita sikit, dia dapat harta dari mana sebelum tuduh orang,” katanya dalam ketika sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor hari ini.
Wan Saiful diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa PN sebuah parti kaya berikutan ‘dikurniakan’ projek bernilai berbilion ringgit dalam tempoh pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.
Muhyiddin turut mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan balas semalam, Anwar menegaskan beliau bersedia mendedahkan penyata kewangan parti seperti dicabar Muhyiddin sekiranya Pengerusi PN itu juga tampil mendedahkan penyata kewangan gabungan parti itu.
Leave a Reply