Tinjauan badan global dapati Muhyiddin calon PM paling popular

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengatasi di kedudukan pertama dalam tinjauan pendapat ketika Datuk Sri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) berusaha mendapatkan sokongan bagi jawatan nombor satu itu.

Firma pendapat awam global YouGov meletakkan pengerusi PN itu sebagai calon perdana menteri paling popular dalam kalangan calon gabungan lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), beberapa hari sebelum bilangan pengundi terbesar dalam sejarah Malaysia keluar mengundi pada 19 November.

Tinjauan terbaru YouGov itu berkata, Muhyiddin, yang mengetuai kerajaan Malaysia ketika kemuncak pandemik Covid-19 menerima ‘penerimaan terbaik’ dalam kalangan satu pertiga (33%) pengundi, berbanding tiga pemimpin gabungan lain yang bersaing untuk jawatan tertinggi dalam negara itu.

Sementara itu, Anwar berada di tempat kedua, dengan 29% penerimaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pula berada di tempat ketiga dengan 22% responden memberikan pandangan positif terhadap beliau menurut Malaysia Now.

Sementara itu, pengerusi Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak menolak mungkin kembali menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, menduduki tempat terakhir dengan 14%.

Populariti ahli politik veteran itu didapati lebih rendah berbanding Abdul Hadi Awang, walaupun presiden Pas yang bersekutu dengan Muhyiddin tidak menyatakan minat untuk menduduki jawatan tersebut.

Dapatan YouGov itu dilihat senada dengan tinjaun serupa dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), di mana ia mendapati Muhyiddin adalah tokoh paling dipercayai, diikuti Anwar di tempat kedua.

Muhyiddin berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama kira-kira 17 bulan, sebelum beliau terpaksa berundur pada Ogos 2021 selepas mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin UMNO yang bersekutu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *